Thursday, May 28, 2015

Kenapa Saya Meminati Sains!

Kisah Saintis...

Sekiranya anda melihat buku teks mata pelajaran sejarah sekolah rendah pada tahun awal 70an, anda akan dapati terdapat banyak kisah-kisah sains. Pada masa itu mata pelajaran sejarah lebih dikenali sebagai tawarikh (ingat...bukannya terawih!). 

Kisah para saintis (dan juga pencipta) terkenal memang menjadi paparan utama, kalau tak silap saya pada waktu Darjah 5. Kami dihidangkan antara lain dengan cerita tentang Edward Jenner yang menjumpai teknik vaccination untuk penyakit cacar (small pox) iaitu satu penyakit yang boleh membawa maut, kisah Louis Pasteur yang menjumpai teknik pempastueran (membolehkan susu tahan lebih lama), dan juga kisah Alexander Fleming yang menemui anti-biotik. 














Edward Jenner














Louis Pasteur














Alexander Fleming



Begitu juga dengan kisah Wilhelm Roentgen (X-ray) dan Marie Curie (Radium). Kisah-kisah sebegini sebenarnya telah mampu memberikan inspirasi kepada saya untuk meminati bidang sains.














Wilhelm Roentgen














Marie Curie



Begitu juga dengan kisah para pencipta seperti Alexander Graham Bell (telefon), Gugleilmo Marconi (perhubungan tanpa wayar), John Boyd Dunlop (tayar 'berudara') dan Thomas Alva Edison (lampu elektrik). Kisah para pencipta ini masih lagi segar di ingatan saya sehingga kini walaupun ianya sudah berlalu selama lebih 40 tahun! 














Alexander Graham Bell














Guglielmo Marconi














John Boyd Dunlop














Thomas Alva Edison



Saya agak hairan kenapa kisah para saintis dan pencipta ini tidak lagi diceritakan kepada pelajar-pelajar kita. Sebenarnya kisah-kisah sebegini mampu memberikan motivasi kepada generasi muda kita untuk menjadi lebih kreatif dan innovatif.

Saya bukan sahaja didedahkan kepada semua cerita menarik ini di peringkat sekolah rendah, tetapi pengukuhan selanjutnya telah diberikan semasa saya di sekolah menengah rendah (kalau tak silap saya semasa Tingkatan 2). Pada masa ini kami telah didedahkan tentang Revolusi Perusahaan yang berlaku dengan pesatnya terutamanya di Eropah, dengan penciptaan enjin wap dan enjin pembakaran dalam, begitu juga dengan penggunaan 'assembly line' oleh Henry Ford untuk pemasangan kereta Ford Model T.














Henry Ford



Sayangnya cerita-cerita sejarah saintis dan pencipta ini tidak lagi wujud di peringkat sekolah. Walaupun cerita-cerita ini mungkin tidak banyak memupuk semangat patriotism atau cintakan negara, tetapi bagi saya ianya penting untuk memupuk sikap saintifik, sikap ingin tahu, daya kreativiti dan semangat innovatif di kalangan generasi muda.

Wajarkah ianya diperkenalkan semula? Apa pendapat anda...


Thursday, May 21, 2015

Blog Untuk Guru Sains

Salam sejahtera!

Ini ialah sebuah blog yang disediakan khas untuk para guru sains.

Guru sains masa kini menghadapi banyak cabaran. Perubahan yang berlaku dalam dunia pendidikan terutama sekali dalam bidang digital merupakan sesuatu yang perlu di harungi oleh semua guru sains. Cara kita belajar sains dahulu dengan cara kita mengajar sains pada masa ini amat jauh berbeza. 

Dalam blog ini saya akan berkongsi pengalaman saya sebagai seorang guru sains, seorang pembangun kurikulum sains dan juga pengalaman saya dalam dunia pembelajaran sains tidak formal. Tak lupa juga pengalaman saya semasa saya mempelajari sains...dari seorang budak kampung di utara Semenanjung pada tahun 70an sehinggalah semasa saya belajar di universiti seberang laut di awal 80an.

Dalam blog ini juga saya akan cuba berkongsi pengetahuan tentang sejarah dan perkembangan sains, apa itu kemahiran saintifik, apakah pendekatan yang boleh digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran sains, kisah kisah menarik sains, dan juga konsep mempelajari sains di luar bilik darjah.

Saya ingin memulakan perkongsian dengan mengimbau kembali saat saya mempelajari sains di sekolah rendah. Buat masa ini kita sibuk memperkatakan tentang inquiry based learning. Sebenarnya ini bukanlah perkara baru. Konsep pembelajaran secara inquiry ini memang telah lama wujud di negara kita. Salah satu bukti yang nyata ialah dari segi tajuk buku teks sains yang saya gunakan semasa saya di sekolah rendah iaitu diakhir tahun 60an dan awal 70an. Tajuk buku teks terbitan FEP (Far Eastern Publishing) tersebut ialah seperti berikut.

Science Standard 1     Science is Observing
Science Standard 2     Science is Inquiring
Science Standard 3     Science is Finding Out
Science Standard 4     Science is Exploring
Science Standard 5     Science is Experimenting
Science Standard 6     Science is Recording

Sekiranya kita mengkaji perkataan Observing, Inquiring, Finding Out, Exploring, Experimenting dan Recording kita dapati terdapat unsur-unsur kemahiran proses sains, penyiasatan, menjalankan ujikaji, dan juga komunikasi sains...iaitu topik hangat pendidikan sains masa kini!